Thursday, February 25, 2010

TSI 8: TAMADUN


Salam Tahun Baru Cina, dari satu jenis tahun ke satu lagi jenis tahun Inang terus membisu. Artikel Inang yang terakhir adalah pada sambutan tahun Masihi dan yang terkini adalah selepas tahun kalender Cina. Itulah realiti Inang yang berbangsa Melayu, yang tidak peka dengan masa dan tidak peka dengan keadaan sekeliling. Yang pasti tiada sesiapa pun tahu samada bangsa Melayu pernah mempunyai kalender yang diterima pakai oleh sebahagian dari penduduk dunia pada suatu masa dahulu ataupun memang tidak pernah wujud kalender Melayu kerana Melayu tidak mempunyai sejarah ketemadunan yang hebat.


Inang seharusnya kagum dengan bangsa Cina yang mempunyai sejarah tamadun yang hebat. Ketika bangsa Eropah didalam kegelapan tanpa haluan, ketika mereka masih lagi melakar lukisan didalam gua-gua yang gelap, ketika itulah bangsa Cina telah melakar sejarah didalam bidang teknologi dan astronomi. Bayangkan bagaimana malunya bangsa German apabila dengan megahnya membeitahu dunia bahawa mereka telah mencipta stainless steel selepas perang dunia pertama atau kedua....padahal seni ketukangan stainless steel telah lama ditemui oleh bangsa Cina kira kira 2000 tahun terdahulu.


Ianya dibutikan setelah 'Terracotta Warrior' ditemui sekitar tahun 70an di jajahan Xian, ibu negara pertama negeri Cina. Dengan megahnya perkakasan yang ditemui oleh mereka seperti senjata,pedang dan tombak serta kereta kuda -'Chariot' masih lagi berkeadaan baik dan tidak berkarat.


Begitu juga dengan sistem perparitan bawah tanah dan sistem kumbahan. Pada beribu tahun yang lepas orang Cina telah menguasai teknologi sistem perparitan dan kumbahan yang begitu sistematik. Pada masa yang sama ketika itu bangsa Eropah masih lagi membuang kumbahan mereka melaui tingkap sahaja. Sehingga kini perkakasan dan peralatan sistem tersebut masih boleh dilihat di Xian.


Inang boleh terus bercerita mengenai kehebatan bangsa Cina ini tetapi Inang takut pula pembaca berasa bosan mendengar kehebatan tamadun mereka secara terperinci. Sekiranya ada permintaan dari pembaca Inang boleh terus menulis mengenainya pada artikel yang akan datang. Inang pun sangat mengharapkan response dari pembaca juga.


Bangsa Cina adalah bangsa yang Inang hormati kerana mereka boleh hidup walaupun dicampak kemana jua di pelosok dunia ini. Tidak hairanlah jika nabi junjungan kita Nabi Muhammad SAW

menyuruh kita belajar walaupun sehingga ke negeri Cina.


Selamat menyambut Maulidur Rasul, rasul SAW yang amat kita sanjungi dan mengharapkan syafaat dari baginda. Amin.

Saturday, January 2, 2010

TSI 7: Azam Baru Melayu Lama


Salam tahun baru 2010. Kebanyakan kita secara umumnya akan membentuk satu azam baru dan bagi Inang tak ada azam yang dapat Inang sematkan di hati Inang kerana banyak daripada azam Inang yang terdahulu semuanya tak menjadi. Sekecil kecil azam yang Inang harapkan pun payah nak menjadi. Maklum sajalah sepanjang 365 hari yang baru dan terus mendatang tidak akan sama ceritanya. Apa yang kita harapkan tidak selalunya berlaku lebih lebih lagi jika apa yang kita hajati itu memerlukan pengorbanan yang besar.

Oleh kerana itu Inang tidak mahu bercerita mengenai azam baru mahupun azam lama yang tak pernah menjadi. Azam pada inang hanya membuahkan kekecewaan. Tak salah bagi Inang untuk kecewa kerana Melayu memang mudah kecewa dan yang lebih teruk lagi Melayu sentiasa mengambil sikap tidak apa. Oleh itu kecewa adalah sesuatu yang tidak apa. Didalam banyak perkara orang Melayu sentiasa mengambil sikap yang mudah dan tidak perlu memeningkan kepala.

Cuba pembaca membawa diri pembaca ke zaman Melayu Melaka sekitar 1511, tatkala Melayu begitu dijulang dengan semangat ketuanannya, tiba tiba jatuh menjadi hamba abdi di negeri sendiri dengan bertuankan orang Eropah. Tiba tiba sahaja orang Melayu yang dilahirkan ketika itu menjadi hamba sehingga beratus ratus tahun lamanya kepada orang putih dari Portugal, Belanda dan Inggeris.

Apakah azam mereka ketika itu lebih lebih lagi didalam menyambut setiap tahun baru. Sudah pasti bagi yang bersemangat patriotik akan sentiasa berazam agar anak dan cucu serta cicit mereka akan merasakan erti kemerdekaan dan mengembalikan semangat ketuanan Melayu. Melayu pada ketika itu sentiasa dibodohkan dan dinafikan hak mereka oleh hanya segelintir orang putih yang menetap di Melaka. Peratusan kaum penjajah pada ketika itu jika dibandingkan dengan penduduk tempatan amat sedikit…mungkin 1 kepada 1000 orang.

Yang memeningkan kepala Inang kenapa Melayu tidak boleh mengalahkan mereka. Inang boleh bayangkan betapa tebalnya hutan pada ketika itu
dan hutan adalah tempat permainan Melayu jika dibandingkan dengan orang putih yang tidak biasa dengan hutan tebal. Apa lagi dengan cuaca yang tidak menyenangkan mereka serta berbagai penyakit serta berbagai elemen yang tidak sesuai dengan mereka. Dalam erti kata lain, Melayu mempunyai berbagai kelebihan atau ‘advantage’ terhadap bangsa penjajah ketika itu.

Yang pasati azam Melayu pada ketika itu memang tinggi untuk memerdekakan diri dan bangsanya. Cuma azam yang ada tidak cukup kuat dan agaknya berbagai bentuk halangan yang perlu diatasi ataupun kerana sikap tidak apa Melayu begitu menebal sehingga mereka lupa apa yang perlu dilakukan.

‘Tidak apa’ terhadap apa yang terjadi pada semalam dan akan datang asalkan Melayu hidup pada ketika itu mungkin juga adalah ‘falsampah’ yang dipegang sebaik sahaja Kerajaan Melayu Melaka kecundang pada 1511. Oleh itu ‘kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang” sudah menjadi budaya yang menebal bagi bangsa Melayu sejak dahulu hinggalah kehari ini………