Seram sejuk Inang bila baru baru ini Inang terbaca mengenai fenomena yang akan terjadi kepada kita di bumi Melayu ini. Berita ini Inang terima dari seseorang melalui e mail Inang. Ianya mengenai Ribut Musim Sejuk yang akan melanda Kuala Lumpur dan dijangkakan akan berlaku pada hari Jumaat 20 Nov ini. Kedudukan negara kita yang berada di kawasan Khatulistiwa yang panas dan lembab ini akan dikunjungi oleh Ribut Musim Sejuk dalam beberapa hari lagi. Fenomena yang ganjil dan pelik pada jarak masa yang terdekat ini memungkinkan banyak tanda tanya kepada Inang. Contohnya di Jepun terdapat banyak kumpulan obor obor yang begitu kelam kabut berpindah ke kawasan utara dan juga terdapat berita yang menyatakan air laut di kepulauan Hawaii semakin susut dari paras biasa.
Dari segi penerimaan berita, semakin mudah Inang menerima berita terkini dan begitu banyak maklumat yang diserapkan ke dalam benak kepala Inang ini. Kadang kadang agak sukar juga untuk menerima berita ini bulat bulat. Biasanya setelah kita menerima maklumat, otak kita akan memproses maklumat tersebut dengan maklumat yang telah sedia ada didalam kotak pemikiran kita. Terpulanglah kepada setiap individu untuk menilai segala maklumat yang dibentangkan. Adakah dengan banyaknya maklumat dan dengan mudah didapati akan dapat membentuk individu yang berfikiran jauh ? Pada Inang segalanya bergantung kepada individu itu sendiri dan jenis maklumat apa yang digarap oleh pembaca tersebut.
Inang tak perlu buat kajian dan perangkaan untuk mengetahui samada bangsa Inang adalah golongan kaum yang suka membaca. Jawapannya tentu tidak. Jelas sekali bangsa Inang tidak suka membaca dan peratusan mereka yang suka membaca amat rendah untuk penduduk Malaysia. Inang berasa kesal juga dengan budaya yang tidak gemar membaca ini. Budaya ini telah begitu menebal dan sukar untuk mengikis sikap malas membaca. Inang faham sekiranya alasan utama untuk bangsa Inang tidak membaca adalah kerana tidak mampu untuk membeli buku. Maklum sahajalah buku yang dijual di negara kita ini agak mahal jika dibandingkan dengan negara maju. Lebih lebih lagi harga buku yang berbentuk ilmiah, mahal dan sukar pula untuk didapati. Inang sendiripun boleh kira berapa banyak buku ilmiah yang Inang beli dan yang Inang baca. Balik balik buku atau majalah yang berbentuk hiburan akan menjadi bahan bacaan Inang. Tapi dengan kemajuan teknologi dan kepantasan maklumat bagai di hujung jari dan setiap orang pula berpeluang untuk berinternet , tidak ada alasan untuk tidak membaca.
Sekiranya tiada komputer ataupun internet di rumah, siber kafe berada di mana mana sahaja. Kemunculan siber kafe bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Tidak ada alasan untuk tidak tahu atau tidak mahu mencari maklumat. Cuma masalah yang bangsa Inang selalu hadapi adalah kegelinciran niat yang asal. Pusat internet ataupun siber kafe kebanyakkan dihuni oleh bangsa Inang dan Inang cukup kagum dengan pencapaian tersebut. Rata rata yang mengunjungi pusat tersebut adalah remaja Melayu yang kesana untuk merosakkan akal fikiran mereka dengan berhadapan berbagai dugaaan dari seluruh dunia. Pembaca lebih arif dan faham akan situasi tersebut.
Hanya dengan membaca kita dapat menimba ilmu dan dengan ilmu kita akan menjadi bangsa yang bejaya. Untuk berjaya kita perlu berusha dengan berbekalkan ilmu yang ada. Tinggi ilmu dan usha yang gigih pasti akan membuahkan kejayaan yang diharapkan. Oleh tu Inang sentiasa mecari ilmu dan sentiasa berusha, web Inang di inangindah.com adalah bukti nyata usha inang dan Inang tidak malu untuk meminta pembaca sekelian memberikan komen terhadap web tersebut. Hakikatnya membaca serta menerima dan membei maklumat yang berfaedah dapat membentuk bangsa yang dihormati. Semoga kita bertemu di lain artikel akan datang.



No comments:
Post a Comment